Warga emas dikhuatiri hilang selepas keluar rumah

Warga emas dikhuatiri hilang selepas keluar rumah

Tawau: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri hilang apabila tidak pulang selepas keluar dari rumahnya di Bukit Kukusan, di sini, pagi tadi.

Masjid Bachi, 60, kali terakhir dilihat ketika keluar di kawasan luar rumah kira-kira jam 10 pagi.

Keluarga yang menyedari kehilangan mangsa kemudian mencarinya bersama penduduk kampung namun gagal mengesan mangsa.

Susulan itu, keluarganya menghubungi Balai Polis Tawau sebelum memaklumkan kepada pasukan bomba untuk gerakan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu jam 4.32 petang.

Katanya, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi SAR.

“Pasukan SAR terbahagi kepada dua pasukan bersama agensi dan penduduk kampung yang menjalankan operasi dengan radius pencarian satu kilometer dari rumah mangsa.

“Mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR ditangguh jam 6.30 petang tadi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi SAR akan disambung semula esok pagi dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|