Batal hasrat terjun bangunan selepas dipujuk

Batal hasrat terjun bangunan selepas dipujuk

Tawau: Seorang lelaki dilaporkan cuba terjun dari tingkat tiga, bangunan kedai, di Jalan Habib Sheikh, di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, lelaki berusia 38 tahun terbabit akhirnya membatalkan niatnya selepas berjaya dipujuk anggota bomba dan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Lelaki yang cuba terjun bangunan berjaya dipujuk oleh bomba dan KKM.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.31 malam.

Katanya, seramai tujuh pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba terus cuba mendekati lelaki terbabit sebelum memujuknya untuk membatalkan niatnya.

“Mangsa akhirnya berjaya diselamatkan sebelum diserahkan kepada pakar psikiatri KKM untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 10 malam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|