KPM komited tangani kekurangan guru di Sabah – Mohamad

KPM komited tangani kekurangan guru di Sabah – Mohamad

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) terus komited bagi memastikan keperluan guru termasuk di Sabah dapat ditampung menerusi pengambilan guru baharu di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, KPM mahu memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PnP) dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Berdasarkan data KPM pada 31 Julai lalu jumlah kekurangan guru di luar bandar adalah seramai 4,732 orang atau 4.1 peratus daripada jumlah keseluruhan guru.

“Antara faktor yang menyumbang kepada kekurangan guru di sekolah termasuk sekolah di luar bandar adalah kekurangan bekalan guru,” katanya pada persidangan Dewan Negara, di sini, hari ini.

Katanya, bagi menangani perkara itu KPM telah melaksanakan sebanyak lima pendekatan.

“Pertama, menubuhkan jawatankuasa pengambilan dan penempatan guru KPM di mana jawatankuasa ini berperanan mengenal pasti perubahan yang berlaku dalam dasar kurikulum program dan enrolmen yang memberi implikasi kepada keperluan guru seterusnya memastikan keseimbangan dalam pengambilan serta penempatan guru sekolah dalam KPM.

“Kedua, melaksanakan urusan pengambilan secara ‘one off’ pada tahun 2021 sehingga 31 Julai 2022 dan seramai 6,381 orang guru telah ditempatkan di sekolah KPM. Daripada jumlah itu seramai 5,944 orang guru telah ditempatkan di sekolah luar bandar.

“Ketiga, melaksanakan urusan penempatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 pada tahun 2022 selepas menerima calon PPP yang telah dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) yang dianggarkan berjumlah 15,761 guru.

“Keempat, melaksanakan pertukaran guru sebanyak empat kali setahun bagi memudahkan pergerakan guru dalam mengisi kekurangan guru di luar bandar dan yang kelima, menggunakan kluster mata pelajaran bagi meningkatkan proses penempatan dan pertukaran guru,” katanya.

Ahli Parlimen Kimanis itu turut menjelaskan kekurangan guru di Sabah bukan di luar bandar sebaliknya di dalam bandar.

“Untuk Sabah saja, kekurangan guru di luar bandar pada ketika ini adalah seramai 867 orang tetapi guru yang di luar bandar pada ketika ini adalah 21,763 orang.

“Ramai yang berpandangan bahawa luar bandar ini mempunyai kekurangan guru yang sangat tinggi tetapi ingin saya nyatakan bahawa hari ini sebenarnya kekurangan guru yang lebih signifikan adalah di kawasan bandar berbanding di luar bandar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan menerusi strategi yang dilaksanakan KPM termasuk unjuran guru yang bakal keluar akan diagih-agihkan termasuk di Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|