USIA ambil pendekatan baharu dalam pelaksanaan program – Sapawi

USIA ambil pendekatan baharu dalam pelaksanaan program – Sapawi

Kota Kinabalu: Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Sapawi Ahmad berkata USIA akan mengambil pendekatan baharu, iaitu mengutamakan yang lebih utama dalam pelaksanaan programnya, termasuk bidang dakwah.

Katanya, kaedah baharu itu menuntut supaya pengendalian aktiviti atau program yang lebih utama dan amat diperlukan, akan dilaksanakan terlebih dahulu.

“Ini selaras dengan semangat yang ditiup dan disuburkan oleh ulama Islam yang terkenal, Prof Dr Yusof Abdullah Al Qaradhawi, iaitu Fiqh Al Awlawiyyat,” katanya selepas merasmikan Program Bicara Hijrah anjuran Ibu Pejabat USIA di sini, semalam.

Pegawai Dakwah USIA, Datuk Abdul Manap Lakariba menyampaikan ceramah yang dihadiri 60 orang pemimpin dan kakitangan USIA.

Program itu diadakan sebagai sambutan Maal Hijrah 1444.

Sapawi berkata, adalah diharapkan pendekatan baharu itu dapat membantu mengembalikan kegemilangan USIA sesuai dengan misi dan visinya.

“Pertubuhan yang telah diasaskan penubuhannya oleh tokoh Sabah yang terkenal, Almarhum Tun Datu Mustapha, 53 tahun lalu, amat wajar untuk diberikan suntikan baharu demi membugar dan menggilap imejnya,” katanya.

Beliau juga mengumumkan bahawa USIA akan menganjurkan Bengkel Pelan Strategik USIA 2022- 2024 di Kota Kinabalu pada 19-21 Ogos ini.

Katanya, bengkel yang julung kali diadakan itu bertujuan untuk merumus pelan penting USIA yang bakal dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Jelasnya, pelan yang bakal dirangka itu meliputi bidang dakwah, pengurusan aset, pengurusan kewangan dan usaha untuk meningkat serta memperbaiki saluran penerangan termasuk IT.

Bengkel itu akan dikendalikan oleh bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Amin Senin, manakala upacara perasmian penutupan dan penyampaian sijil kepada peserta akan disempurnakan oleh Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|