Sandakan rekod 21 kawasan wabak denggi, empat tidak terkawal

Sandakan rekod 21 kawasan wabak denggi, empat tidak terkawal

Sandakan: Daerah ini merekodkan 99 kes denggi aktif dan sebanyak 21 kawasan wabak denggi dengan dua kematian akibat penyakit berkenaan setakat ini.

Pegawai Kesihatan Sandakan, Dr Johari Awang Besar berkata, empat daripada jumlah berkenaan diletakkan sebagai lokasi wabak tidak terkawal.

Katanya, empat lokaliti terbabit ialah Kampung Tinusa Dua Darat, Kampung Bokara, Kampung Karamunting Baru dan Kampung Batu Putih.

“Sandakan khususnya telah berlaku peningkatan lebih 700 peratus di mana kalau ikut laporan yang saya ada hari ini kita ada 21 wabak aktif dengan empat daripadanya tidak terkawal.

“Kalau wabak tidak terkawal masih ada kes-kes baharu selepas empat minggu, kemungkinan ia akan jadi ‘hotspot’. Saya nampak bahawa dengan peningkatan kes hari ini ada lebih kurang 10 kes sehari ia akan jadi satu perkara yang serius,” katanya pada sidang media selepas satu operasi pemeriksaan kesihatan, di sini, hari ini.

Katanya, kes denggi di daerah ini dilihat meningkat kembali walaupun pihaknya sudah menjalankan pelbagai kaedah dan kempen seperti mengadakan semburan membunuh nyamuk aedes, mengedarkan risalah dan poster serta mengadakan gotong-royong bersama penduduk setempat.

Mengulas lanjut, Dr Johari berkata, dua kematian yang dilaporkan setakat ini membabitkan kanak-kanak lelaki iaitu pada April dan Julai lalu.

Sehubungan iti, pihaknya berharap masyarakat di daerah ini dapat memberikan kerjasama dengan segera membersihkan kawasan yang mungkin menjadi tempat pembiakan nyamuk di sekeliling rumah mereka.

Dalam masa sama, katanya pihaknya juga akan mempergiatkan lagi kempen dan pemeriksaan agar wabak berkenaan dapat dibendung dengan segera.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|