Kabinet gesa SPRM segerakan siasatan LCS

Kabinet gesa SPRM segerakan siasatan LCS

Kuala Lumpur: Jemaah menteri telah memutuskan untuk menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyegerakan siasatan berhubung isu Littoral Combat Ship (LCS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memandang serius isu LCS yang sedang dalam siasatan SPRM dan perkara itu dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini.

“Jemaah Menteri telah memutuskan untuk menggesa SPRM agar menyegerakan siasatan dan sekiranya terdapat bukti kukuh, Peguam Negara hendaklah membuat pendakwaan dan mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan.

“Saya telah memanggil Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Ketua
Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki selepas Mesyuarat Jemaah Menteri
untuk segera bertindak selaras dengan keputusan mesyuarat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri turut berkata, dalam masa sama, mesyuarat membuat keputusan agar Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dibenarkan untuk disiarkan kepada umum.

“Jemaah Menteri juga mencadangkan supaya Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS yang dijalankan pada tahun 2019 dinyahklasifikasikan (declassify).

“Namun, proses ini perlu mendapat nasihat dan pandangan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara terlebih dahulu,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menjamin bahawa keputusan Jemaah Menteri hari ini tidak akan menggangu Proses Mobilisasi di bawah Pelan Pemulihan LCS yang diputuskan Jemaah Menteri pada 20
April lalu.

“Kerajaan komited untuk meneruskan projek ini atas kepentingan pertahanan
negara selaras dengan keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Saya bagi pihak kerajaan, memberi jaminan bahawa siasatan berhubung
isu ini dijalankan dengan telus dan Kerajaan tidak akan melindungi sesiapa
pun yang terlibat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|