Dua kilang ais diarah tutup, tiada lesen KKM

Dua kilang ais diarah tutup, tiada lesen KKM

Sandakan: Dua kilang ais kiub yang terletak di Bandar Letat dan Pusat Industri Lintas Sibuga, di sini, diarah tutup selepas didapati tidak memiliki lesen daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu operasi pemeriksaan, hari ini.

Pegawai Kesihatan Sandakan, Dr Johari Awang Besar berkata, daerah ini memiliki empat buah kilang ais kiub.

Dua kilang ais tiub di Sandakan diarah tutup selepas didapati tidak memiliki lesen daripada KKM.

Katanya, dua daripadanya memiliki lesen KKM manakala dua lagi tidak pernah memohon lesen berkenaan walaupun sudah beroperasi lebih empat hingga lima tahun.

“Kedua-dua kilang berkenaan pernah diberikan kompaun hampir setiap tahun, tetapi masih tidak serius mendapatkan lesen daripada KKM.

“Dengan kompaun yang diberikan setiap tahun, tetapi tiada perubahan… maka hari ini kita menyita kilang berkenaan supaya mereka membuat satu perubahan yang jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas operasi pemeriksaan berkenaan, hari ini.

Beliau berkata, dalam memastikan keselamatan pengguna pengguna ais kiub di sandakan terjamin, langkah berkenaan terpaksa diambil.

Katanya, arahan menutup operasi kilang itu dikuatkuasakan hari ini sehingga kilang-kilang itu memperolehi lesen KKM.

“Kita berharap kilang-kilang menghasilkan ais kiub di daerah ini dapat memohon lesen kesihatan seperti yang ditetapkan kerana ia penting dalam menghasilkan makanan kepada masyarakat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|