Pengakap Labuan derma 64 pain darah

Pengakap Labuan derma 64 pain darah

Labuan: Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan (PPMWPL) berjaya mengumpul sebanyak 64 pain darah sempena Kempen Derma Darah yang diadakan di Teratai Square, ruang legar Kompleks Ujana Kewangan Labuan, di sini, baru-baru ini.

Jumlah itu bagaimanapun menunjukkan sedikit penurunan berbanding 68 pain yang dikumpul ketika kali terakhir kempen sebelum pandemik Covid-19 pada 2019.

Mohd Alias (kiri) menyampaikan sijil dan cenderamata kepada penderma darah sambil diperhatikan Leong dan Mohd Irfan (kanan).

Kempen Derma Darah bertemakan ‘Every Blood Donor is a Hero’ diadakan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Labuan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Financial Park Labuan.

Ia adalah acara komuniti tahunan Pengakap Labuan, namun ditangguhkan pada 2020 dan 2021 akibat penularan virus Covid-19.

PPMWPL kembali menganjurkan kempen derma darah pada tahun ini dan ia adalah penganjuran kali ke-13 sejak dianjurkan kali pertama pada 2008.

Objektif utama kempen itu adalah mengumpul bekalan darah untuk disumbangkan kepada pihak hospital, di samping memberikan pendedahan mengenai kepentingan pendermaan darah kepada ahli Pengakap khususnya dan komuniti Labuan amnya.

Ahli Pengakap dari tiga sekolah iaitu SM Sains Labuan, SMK Lajau dan SMK Labuan serta Krew Pengakap Kelana A antara yang membantu pelaksanaan kempen itu.

Turut membantu dalam kempen itu ialah Leong dan Nelson dari Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan Labuan.

PPMWPL turut menyampaikan sumbangan berupa makanan dan minuman ringan serta sijil penyertaan kepada penderma darah sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka.

Penghargaan turut dirakamkan kepada Financial Park Labuan Sdn Bhd selaku penaja lokasi kempen, selain Pegawai Perubatan, Pembantu Pegawai Perubatan, jururawat serta pengurusan Hospital Labuan khususnya Unit Tabung Darah, Jabatan Kesihatan WP Labuan yang bekerjasama menjayakan kempen itu.

Kempen itu juga mendapat tajaan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Skip Hong Heng Chee.

PPMWPL turut mengucapkan terima kasih kepada Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri, Datuk Seri Mohd Alias A Rahman yang menyampaikan sijil penghargaan kepada penderma.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri, Mohd Irfan Sim Abdullah serta ahli-ahli Majlis Pengakap Negeri dan Majlis Pesuruhjaya Pengakap Negeri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|