Didenda RM1,000 kerana berlumba haram

Didenda RM1,000 kerana berlumba haram

Tawau: Seorang lelaki didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah terbabit dalam aktiviti lumba haram ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohd Zulfahmi Azri Md Gani, 24, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Chong Thein Vun, di sini, pada jam 12.15 tengah malam, 3 Julai lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, ketika kejadian, tertuduh memandu sebuah kereta berwarna kelabu dari bulatan Megah Jaya menuju ke Kubota dengan kelajuan yang tinggi.

Berikutan itu, Zulfahmi didakwa mengambil bahagian dalam pertandingan atau menduga kelajuan yang tidak diluluskan di lokasi kejadian.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 81 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda sebanyak RM2,000 atau penjara selama enam bulan atau kedua-duanya.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Hurman Hussain dalam hujahnya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal selepas mengambil kira kepentingan awam selain untuk pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

Majistret Leona Dominic Majilau kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000, atau penjara tujuh hari jika gagal membayar jumlah berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|