Kota Kinabalu: Penganjuran kursus kejurulatihan bola sepak mampu menjadi pencetus ke arah menggalakkan pembangunan sukan berkenaan di negeri ini.
Pengerusi Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Henry Saimpon berkata, menerusi kursus itu, ia mampu melahirkan jurulatih berkelayakan dan seterusnya membantu membangunkan sukan bola sepak.
Katanya, umum mengetahui, tugas sebagai seorang jurulatih amat penting kerana ia adalah antara nadi utama sesebuah pasukan bola sepak.
“Penganjuran kursus ini bukan saja dilihat dapat memacu kerjaya kejurulatihan tempatan tetapi juga mampu melahirkan pemain pada masa depan.
“Ilmu yang diperolehi menerusi kursus ini membolehkan mereka melatih dan sekali gus membantu melahirkan bakat baharu di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan Kursus Kejurulatihan Bola Sepak FAM/SAFA ‘D’ yang diadakan di Ranau, hari ini.
Kursus selama lima hari yang dikendalikan Ketua Jurulatih Bimbingan, Omar Maya Amat itu disertai oleh seramai 24 jurulatih dari seluruh Sabah.
Henry yang juga Naib Presiden I SAFA berkata, semua jurulatih boleh diletakkan sebagai harapan untuk melahirkan bakat baharu dan pemain terbaik untuk generasi akan datang.
“Terima kasih kepada Presiden SAFA Datuk Seri Bung Moktar Radin atas sokongan yang diberikan dalam membangunkan sukan bola sepak negeri,” katanya.
Sementara itu, Omar Maya berkata, kursus yang dikendalikannya itu adalah salah satu hala tuju pembangunan direncanakan Presiden SAFA Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Katanya, ia berikutan kursus itu dapat memberi peluang kepada peserta untuk mengenali dan mempraktikkan segala ilmu pengetahuan mengenai bola sepak sebenar.
-Deasoka