293 pelajar baharu Asasi UMS sesi 2022/2023

293 pelajar baharu Asasi UMS sesi 2022/2023

Kota Kinabalu: Seramai 293 pelajar Asasi diterima masuk ke Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi pengambilan pertama sesi kemasukan 2022/2023.

Pengarah PPST, Prof Dr Jumat Sulaiman berkata, jumlah itu dijangka meningkat selepas sesi pendaftaran pelajar rayuan pada 29 Ogos ini.

“Pertamanya, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya diterima sebagai pelajar Asasi UMS bagi sesi ini.

“Sudah pasti ini merupakan suatu pengalaman baharu bagi pelajar kerana suasana pembelajaran di dalam kampus adalah berbeza berbanding ketika berada di sekolah menengah.

“Oleh itu, saya ingin berpesan agar semua pelajar menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk menuntut ilmu sekali gus berusaha untuk menggapai cita-cita dan menjadi seorang pelajar yang cemerlang sehingga ke peringkat ijazah sarjana muda kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Lafaz Ikrar dan Aku Janji Pelajar Baharu Program Asasi Bagi Sesi 2022/2023 di Dewan Resital, di sini, hari ini.

Menurut Jumat, semua pelajar Asasi PPST berpeluang melanjutkan pengajian ke fakulti UMS yang menawarkan program-program berteraskan Sains dan Teknologi.

“Justeru, saya ingin menyeru kepada semua pelajar untuk menjadikan Pusat Asasi ini sebagai landasan persediaan sebelum menempuh pengajian yang lebih tinggi.

“Usahakan untuk menimba pengalaman dan ilmu pengetahuan untuk bekalan ke peringkat seterusnya.Semoga semua pelajar Asasi UMS akan terus maju jaya,” katanya.

PPST UMS menawarkan dua program asasi iaitu Program Pengajian Asasi Sains dan Asasi Teknologi Maklumat.

Sehingga 2021, pusat itu telah berjaya melahirkan seramai 2,697 graduan Asasi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|