BERSATU Sabah pertahan enam kerusi Parlimen

BERSATU Sabah pertahan enam kerusi Parlimen

Kota Kinabalu: Ketua Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun menegaskan parti itu akan mempertahankan semua enam kerusi Parlimen yang disandang wakil rakyatnya ketika ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata enam kerusi terbabit ialah Kudat, Ranau, Beaufort, Sipitang, Beluran dan Libaran.

Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort menegaskan pihaknya tidak berkompromi dalam mempertahankan semua kerusi terbabit.

“Srikandi BERSATU Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Kita sewajarnya mempertahankan kerusi yang dimenangi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Srikandi BERSATU Sabah di Alamesra, di sini, semalam.

Hadir sama Naib Ketua Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Amisah Yassin (Ranau); Penolong Setiausaha, Datuk Redonah Bahanda (Kota Marudu); Ketua Penerangan Srikandi Bersatu Sabah, Anna Bell Perian (Libaran) dan Setiausaha Kerja, Aziah Atoh (Sepanggar).

Ketika ini, kerusi Parlimen Kudat diwakili Datuk Abdul Rahim Bakri, diikuti Yamani Hafez Musa (Sipitang), Datuk Jonathan Yassin (Ranau), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Zakaria Edris (Libaran).

Sementara itu, Azizah turut menggesa seluruh jentera Srikandi BERSATU Sabah bersiap sedia menghadapi PRU-15 yang dijangka diadakan tidak lama lagi berdasarkan senario politik semasa ada tanda-tanda ia mungkin diadakan lebih awal pada bila-bila masa dari sekarang.

“Srikandi BERSATU akan terus memperkasakan program mendekati rakyat selain melakukan proses tambah nilai untuk memperkasakan jentera parti menghadapi PRU-15,” katanya.

Beliau berkata, usaha mengukuhkan semangat solidariti dan jati diri turut ditekankan bagi memantapkan parti untuk menghadapi PRU-15.

Pada masa sama, katanya Srikandi BERSATU Sabah juga memberi tumpuan untuk mendekati pengundi muda bermula dari umur 18 tahun di setiap kawasan Parlimen dan memahami isu yang mereka hadapi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|