Menang atau kalah bukan sebab seorang pemain – Kim Swee

Menang atau kalah bukan sebab seorang pemain – Kim Swee

Kota Kinabalu: “Prestasi Embalo sememangnya tidak memuaskan tapi pada masa sama, saya minta kerjasama semua pihak terutama para penyokong untuk terus memberi sokongan penuh,” kata Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.

Kim Swee berkata, semua pihak seharusnya faham dan tidak meletakkan tekanan terlalu tinggi ke atas pemain.

Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.

Katanya, kedudukan pasuka yang baik bukan bergantung kepada seorang pemain tetapi kepada semua pemain.

“Bukan sebab seseorang kita tewas ataupun menang. Namun kita perlu memikirkan satu cara terbaik dan tidak akan mensia-siakan sesiapa serta memberi peluang demi peluang.

“Kita tahu, apabila membawa pemain import, sudah tentu kita inginkan yang terbaik, tetapi pada masa yang sama, kita tidak boleh meletakkan tekanan yang tinggi,”katanya pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Kim Swee berkata, beliau tidak tahu apa yang difikirkan Embalo sebagai seorang pemain lebih-lebih lagi sebagai individu.

“Kerana ia bukan mudah untuk mengawal perasaan ketika bermain dan mendapat tekanan seperti mana beliau hadapi ketika ini.

“Pada masa sama, saya juga tidak menyalahkan sesiapa. Jadi kita harus kekal fokus dan semua penyokong serta pegawai-pegawai tertentu harus menyokong pasukan dan bukan menimbulkan masalah,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perlawanan menentang Sarawak United FC, malam tadi, Kim Swee berkata, walaupun bukan mudah namun kejayaan mendapatkan tiga mata amat penting.

Katanya, walaupun mampu mengawal situasi perlawanan, namun Sabah FC gagal mendapatkan gol pada separuh masa pertama.

“Ini memberi tekanan kepada kita untuk mendapatkan gol, akhirnya dengan satu gol saya percaya itu mencukupi untuk kita menjarakkan kita pasukan – pasukan lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Sarawak United FC, S Balachandran berkata, pasukannya bermain cukup bagus namun gagal manfaatkan peluang yang ada.

“Pemain cukup bagus, ikut taktikal dan kita ada peluang namun tidak dimanfaatkan dengan baik.

“Masa kedua, kita bermain sangat baik walaupun ada tekanan daripada Sabah FC dan pemain mampu beri satu cabaran yang bagus,” katanya.

Dalam aksi Liga Super malam tadi, Sabah FC meneruskan prestasi cemerlang selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Sarawak United FC di Stadium Likas.

Gol yang dijaringkan ketua pasukan Baddrol Bakhtiar itu cukup untuk memberi mata penuh kepada Sabah FC untuk kekal di tangga kedua liga.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|