Pejalan kaki meninggal dunia dirempuh bas mini

Pejalan kaki meninggal dunia dirempuh bas mini

Tawau: Seorang wanita pejalan kaki maut selepas dirempuh bas mini ketika cuba melintas jalan di bulatan Jalan Persisiran, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.55 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 30 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu bas mini berusia 34 tahun bergerak dari arah Pasar Tanjung menghala ke Terminal Bas, Sabindo.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, mangsa tiba-tiba melintas jalan menyebabkan pemandu bas mini gagal mengelak kerana jarak terlalu dekat dan terus merempuh mangsa.

“Mangsa terhumban hampir dua meter atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala pemandu bas mini tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa tiada keterangan diri dan seorang gelandangan.

“Bedah siasat telah dijalankan dan mendapati punca kematian disebabkan ‘head injury due to road traffic collision.

“Polis masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|