Tawau: Dua remaja maut selepas motosikal dinaiki merempuh sebuah pacuan empat roda di Batu 3 ½, Jalan Apas, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 3.15 petang itu, kedua-dua lelaki warga asing berusia 17 tahun terbabit disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati kenderaan Toyota Hilux pemandu lelaki berusia 62 tahun dalam perjalanan dari Taman Bintang menuju ke Batu 3 ½, Jalan Apas.
Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu Toyota Hilux yang keluar dari persimpangan lorong susur berkenaan cuba membuat pusingan U telah dilanggar oleh motosikal jenis Yamaha 125ZR yang datang dari arah sebelah kiri di jalan lurus.
“Akibat kemalangan itu, penunggang dan pembonceng maut di tempat kejadian manakala pemandu Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tawau untuk proses bedah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pihak polis masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
-Deasoka