Sandakan: Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap seorang lelaki warga asing selepas didapati bersalah memiliki anggota badan rusa, tanduk kijang dan bulu landak.
Tertuduh, Jesus A Apolinarion, 49 diperintah menjalani hukuman itu bermula pada tarikh dia ditangkap, iaitu pada 2 Julai lalu.
Hakim Darmafikri Abu Adam turut memerintahkan tertuduh diserahkan kepada Jabatan Imigresen sebaik selesai menjalani hukuman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, rumah tertuduh yang terletak di rumah pekerja kawasan Hutan Simpan Ladang Labau, Tongod, diperiksa dalam Operasi Khazanah Bersepadu pada kira-kira jam 1.30 tengah hari, 2 Julai lalu.
Hasil pemeriksaan, Jesus didapati memiliki satu bahagian kepala rusa, dua tanduk kijang dan 245 batang bulu landak iaitu hasil haiwan yang dilindungi dalam Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Berikutan itu, Jesus didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41 (2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Enakmen berkenaan memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS), Abdul Karim Dakog.
-Deasoka