500 peserta didedahkan impak negatif tabiat merokok

500 peserta didedahkan impak negatif tabiat merokok

Kota Kinabalu: Seramai 500 peserta diberi pendedahan pentingnya pembentukan generasi bebas rokok pada masa hadapan serta bahaya penggunaan rokok elektronik (Vape) menerusi Program Webinar Generational End Game Anti Rokok (GEGAR).

Program anjuran Kelab Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang bertemakan Generational End-Game itu diadakan secara dalam talian.

Timbalan Pengerusi Biro Pengajian Tinggi dan Kelab PEMADAM (Sektor Swasta), Dr Juliana Rosmidah Jaafar berkata, program itu bertepatan dengan salah satu objektif penganjuran iaitu pendedahan tentang impak negatif tabiat merokok dalam kalangan orang ramai khususnya golongan belia.

“Penganjuran webinar ini bertujuan memantapkan kesedaran warga kampus mengenai Generational End-Game yang bakal menamatkan generasi perokok dan penyalahgunaan dadah.

“Untuk makluman, konsep Generational-End-Game dan Dasar Dadah Negara mempunyai matlamat ke arah ‘Dadah Terkawal 2025′.

“Saya percaya matlamat ini tidak mustahil untuk dicapai sekiranya mempunyai kerjasama daripada semua pihak,” katanya selepas merasmikan program itu baru-baru ini.

Webinar itu dihadiri pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, sekolah menengah, pelajar sekolah rendah, penjawat awam dan orang ramai.

Ia turut menampilkan dua penceramah jemputan iaitu Ketua Penolong Sektor Kawalan Tembakau dan Urus Setia Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Muaz Sayuti; dan Pensyarah Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS, Haazik Mohamed.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|