Perkukuh kerjasama 5 Divisyen dengan agensi keselamatan lain

Perkukuh kerjasama 5 Divisyen dengan agensi keselamatan lain

Putatan: Kerjasama yang kukuh antara 5 divisyen dengan agensi keselamatan lain mampu merapatkan jurang kekangan sekali gus mengoptimumkan peranan serta tugas sebagai pasukan keselamatan dalam menjaga kedaulatan Sabah.

Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Abdul Rahman A Wahab berkata, pihaknya akan meneruskan kecemerlangan yang telah dicipta oleh 5 Divisyen sebagai satu ketumbukan organisasi yang sentiasa dihormati oleh pasukan sahabat dan digeruni oleh pasukan lawan.

“Keutamaan dan penekanan yang serius diberikan dalam merangka dan melaksanakan latihan-latihan individu dan kolektif dalam mencapai objektif-objektif yang telah digariskan bagi merealisasikan tonggak satu dan tonggak dua Tentera Darat dalam memperkasakan latihan serta mampu menjadikan 5 Divisyen sebagai sebuah organisasi yang kredibal, professional dan berdaya saing serta responsif dalam apa juga keadaan.

“Selain itu, kerjasama utuh bersama agensi-agensi keselamatan di negeri ini mampu merapatkan jurang kekangan dan mengoptimumkan peranan dan tugas kita sebagai pasukan keselamatan dalam menjaga kedaulatan Sabah,” katanya ketika berucap sempena Perbarisan Perintah Ulung Panglima 5 Divisyen yang keempat, di Padang Kawad Rejimen Ke-6 Artileri Diraja, Kem Lok Kawi, di sini, hari ini.

Dalam perbarisan itu, seramai 12 pegawai dan 238 anggota lain-lain melibatkan tiga Detasmen daripada formasi bawah naungan 5 Divisyen turut terlibat.

Perbarisan diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel Nur Fahmi Bassar.

Perbarisan itu diadakan bertujuan menyampaikan amanat dan Perintah Ulung beliau selepas mengambil alih tampuk pemerintahan 5 Divisyen daripada Datuk Mohd Halim Khalid pada 4 Julai lalu.

Terdahulu, Abdul Rahman turut menyempurnakan pemakaian pangkat
kepada seorang pegawai dan sembilan anggota Lain-lain Pangkat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|