Peter dibebas daripada pertuduhan pengubahan wang haram RM8.75 juta

Peter dibebas daripada pertuduhan pengubahan wang haram RM8.75 juta

Kota Kinabalu: Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony hari ini dilepas dan dibebaskan daripada lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM8.75 juta.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Hakim Abu Bakar Manat dalam prosidingnya hari ini.

Pertuduhan terbabit berkaitan kes jualan tanah kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di daerah Tongod yang berlaku antara 2014 dan 2016.

Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap turut dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat dengan seorang peguam kerana melakukan pecah amanah jenayah.

Abu Bakar berkata keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan hujahan pihak pendakwaan dan permintaan pihak pembelaan selain peruntukan Seksyen 254 (3) Kanun Acara Jenayah bahawa pelepasan tidak akan menjadi pembebasan melainkan dengan arahan mahkamah.

“Bermakna bahawa mahkamah masih mempunyai budi bicara untuk memberikan perintah melepas dan membebaskan (tertuduh) jika pihak pendakwaan tidak lagi mahu meneruskan kes seperti apa yang berlaku dalam kes ini,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu mahkamah bahawa pihaknya menerima representasi Peter.

Haresh meminta mahkamah untuk melepaskan Peter tanpa dibebaskan daripada keenam-enam pertuduhan, namun tidak menyatakan sebarang alasan kepada mahkamah sebab Peter boleh mendapatkan pelepasan.

Sementara itu, peguam Peter, Martin Tommy berterima kasih kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun yang menerima surat representasi mereka dan meminta pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA) yang dikemukakan pihak pendakwaan ditukar kepada dilepas dan dibebaskan (DAA).

Martin antara lain berkata perkara dalam kes itu membabitkan wang berjumlah RM15 juta yang mana sudah dibayar oleh seorang lagi tertuduh (peguam) kepada RISDA dan ia sebagai asas beliau meminta mahkamah melepas dan membebaskan Peter.

Pada 11 Jun 2020, Peter dibicarakan atas lima pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram dan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM8.75 juta antara 2014 dan 2016.

Semua pertuduhan dikaitkan dengan kes penjualan tanah kepada RISDA.

Dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 sebelum pindaan akta, manakala tiga pertuduhan lagi dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (b) akta sama selepas pindaan.

Akta berkenaan dipinda pada 1 September 2014.

Dalam satu lagi pertuduhan, Peter mengaku tidak bersalah pada 18 Jun 2020 atas dakwaan bersubahat dengan peguam Persius Henry Bolutong @ Michael Persius Ubu menggelapkan RM15,545,400 berhubung urusniaga tanah yang dikaitkan dengan RISDA antara 2014 dan 2015.

Wang berkenaan dikatakan adalah 10 peratus daripada hasil jualan tanah ladang kelapa sawit berkeluasan 2,739.19 hektar (6,768.688 ekar) di Sungai Pinangah dan Sungai Labau dalam daerah Tongod.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|