PRU-15: Setiap bahagian UMNO Sabah diarah senarai lima calon

PRU-15: Setiap bahagian UMNO Sabah diarah senarai lima calon

Kota Kinabalu: UMNO Sabah mengarahkan semua 25 bahagiannya di negeri ini untuk mengemukakan lima calon yang berpotensi diketengahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata senarai itu perlu dikemukakan segara kepada UMNO negeri untuk penilaian awal.

Bung Moktar (tengah) bersama timbalannya, Datuk Yakub Khan dan Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin ketika mempengerusikan UMNO Sabah.

“Senarai tersebut perlu dikemukakan segera, sama ada individu yang dicadangkan yang mempunyai kedudukan dalam bahagian atau sebaliknya yang penting ianya berwibawa, memenuhi kriteria dan boleh diterima oleh rakyat.

“Ini kerana matlamat kita pada PRU-15 ini adalah memenangi setiap kerusi yang ditandingi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas UMNO Sabah di Bangunan UMNO, di sini, malam ini.

Bung Moktar mendaftar buku kehadiran sejurus tiba untuk mempengerusikan mesyuarat di Bangunan UMNO Sabah.

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, berkata setiap senarai yang dikemuakan akan dinilai oleh satu jawatankuasa khas berdasarkan maklum balas rakyat di akar umbi hasil pemantauan satu pasukan khas parti di samping laporan dari agensi berkaitan yang turut dinilai untuk menentukan calon yang benar-benar layak .

Katanya, bagi menentukan calon pada PRU-15, konsep WALI iaitu winnable (boleh menang), acceptable (boleh diterima) dan likeable (disenangi) akan menjadi garis panduan untuk meletakkan calon terbaik mewakili parti.

Jelasnya, personaliti calon adalah elemen utama yang dilihat oleh rakyat dan ianya harus menjadi kriteria utama untuk UMNO/BN.

Tegasnya, kebolehmenangan harus menjadi keutamaan walaupun calon terbabit bukan penjawat utama di peringkat bahagian.

“Orang boleh terima tetapi tidak tentu orang suka jadi mesti mempunyai ketiga-tiga elemen ini untuk menjadi seorang calon,” katanya.

Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Kinabatangan berharap semua bahagian dan cawangan UMNO di negeri ini mengemaskini daftar pemilih termasuk mengenal pasti pengundi baharu khususnya golongan muda yang akan memilih pada PRU-15.

“Pastikan daftar pemilih dan Bilik Gerakan di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) di setiap bahagian dan cawangan telah dikemaskini dan mereka perlu mengadakan Simulasi Dry Run bagi mengenal pasti kekuatan parti,” katanya.

Beliau berkata jentera BN dan UMNO perlu memastikan agar hati dan pemikiran pengundi di kawasan tumpuan dapat dimenangi supaya kerusi di kawasan tumpuan memenangi majoriti yang diperlukan.

“Saya merasakan bahawa seteru politik telah melipatgandakan kerja-kerja mereka dan saya yakin kalau usaha-usaha (jentera BN dan UMNO) melebihi daripada seteru politik kita, maka kawasan-kawasan tumpuan akan dapat kita peroleh semula kemenangan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Bung Moktar mengingatkan setiap cawangan UMNO di semua bahagian perlu diberikan sokongan untuk mengadakan kegiatan-kegiatan parti agar jalinan kerjasama antara pemimpin dan ahli parti dapat diwujudkan bagi memperkukuhkan lagi kekuatan parti menghadapi PRU-15.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|