Sabah FC berjaya kutip tiga mata penuh di Likas

Sabah FC berjaya kutip tiga mata penuh di Likas

Kota Kinabalu: Sabah FC berjaya meneruskan prestasi cemerlang selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 dalam perlawanan Liga Super menewaskan Sarawak United FC di Stadium Likas, di sini, malam ini.

Gol yang dijaringkan kapten pasukan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-62 itu cukup untuk memberikan mata penuh kepada Sabah FC untuk kekal di tangga kedua liga.

Kapten Sabah FC, Baddrol Bakhtiar menjaringkan gol kemenangan pada perlawanan Liga Super 2022 menentang Sarawak United FC di Stadium Likas, malam ini.

Pasukan tuan rumah bermula garang seawal minit pertama perlawanan dengan beberapa serangan menarik yang direncanakan pemain tengah Park Tae Su dan Baddrol.

Namun, kekentalan pertahanan Sarawak United berjaya mengagalkan beberapa serangan dan percubaan Sabah FC.

Pemain Sabah FC meraihkan jaringan melalui kaptennya, Baddrol Bakhtiar.

Keputusan kekal 0-0 sehingga tamat masa pertama sehingga memaksa jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee untuk membuat pertukaran menggantikan penyerang Jose Embalo dan memasukkan Mohd Amri Yahyah.

Kemasukan Amri ternyata memantapkan lagi bahagian serangan Sabah FC dengan beberapa percubaan berbahaya dalam tempoh 15 minit pertama masa kedua.

Serangan Sabah FC akhirnya berhasil apabila Baddrol berjaya menanduk masuk hantaran lintang yang dibuat pemain kebangsaan Indonesia Saddil Ramdani.

Tersentak dengan gol berkenaan, Sarawak United FC cuba bangkit dengan melakukan serangan balas terhadap kubu lawan.

Bagaimanapun, kehebatan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dan pertahanan Sabah FC berjaya mengekalkan keputusan sehingga tamat perlawanan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|