Warga asing dipenjara empat tahun, denda RM200,000 kerana memiliki organ penyu hijau

Warga asing dipenjara empat tahun, denda RM200,000 kerana memiliki organ penyu hijau

Tawau: Mahkamah Sesyen Tawau hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM200,000 terhadap seorang lelaki warga asing atas kesalahan memiliki organ penyu hijau (Chelonia mydas) selepas ditahan di Semporna, minggu lalu.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu ke atas Suryan Sah Mohd Edi, 31, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Awang Kerisnada turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua tahun jika gagal membayar denda.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Suryan Sah didakwa melakukan kesalahan memiliki 13 keping plastron dan 25 keping sisik marginal penyu hijau di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bangau-Bangau, Semporna pada 10 pagi, 29 Mac lalu.

Spesies penyu berkenaan dilindungi sepenuhnya mengikut senarai dalam Jadual 1, Bahagian 1, Nombor 8 Enakmen Pemeliharaan Hidupan liar 1997.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan dibaca bersama Seksyen 41(4)(a) Enakmen yang sama.

Hukuman ke atas tertuduh dibuat mengikut Seksyen 41(1) enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM250,000 selain penjara tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan.

Awang Kerisnada dalam penghakimannya berkata tertuduh adalah seorang penjenayah alam sekitar dan mahkamah perlu bertegas dalam perkara itu.

“Sekiranya mahkamah tidak tegas maka hidupan liar di laut akan pupus, ini merupakan amaran keras kepada penjenayah alam sekitar lain.

“Item rampasan yang ditemukan bersama tertuduh semasa kejadian seperti kapak dan tukul, juga sudah menunjukkan yang penyu itu dibunuh dengan kejam,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh diusir ke negara asal selepas menjalani hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar, Abdul Karim Dakog, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|