Laungan azan di radio bukan panduan berbuka puasa – Mufti Sabah

Laungan azan di radio bukan panduan berbuka puasa – Mufti Sabah

Kota Kinabalu: Umat Islam diingatkan supaya tidak menjadikan laungan azan di radio atau yang seumpamanya sebagai panduan untuk berbuka puasa.

Peringatan itu dikeluarkan Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dalam maklum balasnya berhubung kesilapan seorang DJ radio menyiarkan laungan azan Maghrib empat minit lebih awal, semalam.

Katanya, umat Islam sebaliknya perlu berpandukan nas syarak iaitu terbenamnya matahari bagi menentukan waktu berbuka puasa.

“Waktu berbuka puasa adalah bersandarkan kepada terbenamnya matahari berdasarkan nas syarak dan bukannya bersandarkan kepada laungan azan di radio atau seumpamanya serta keadaan langit pada ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata berdasarkan hukum syarak, puasa mereka yang tersalah berbuka puasa awal kerana mengikut azan di radio dikira terbatal dan wajib digantikan setelah berakhirnya Ramadan.

Bungsu bagaimanapun menyifatkan usaha pihak radio mengumandangkan azan sebagai tanda masuk waktu dan berbuka adalah usaha murni yang sangat baik.

“Namun begitu, pihak radio perlulah lebih teliti dan cermat dalam perkara ini bagi mengelakkan daripada berulang perbuatan mengumandangkan azan awal daripada waktunya pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan umat Islam supaya sentiasa cermat dan berhati-hati berkaitan waktu berbuka puasa.

“Disarankan kepada umat Islam agar merujuk kepada takwim berbuka puasa yang telah dikeluarkan oleh pihak yang berautoriti demi memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang,” katanya.

Semalam, seorang DJ radio stesen radio tempatan di Tawau tampil memohon maaf menerusi satu kenyataan di laman sosial Facebook selepas tersilap menyiarkan azan Maghrib empat minit sebelum waktu sepatutnya.

Penyampai radio berkenaan mengaku tersilap selepas menyiarkan azan sebanyak dua kali iaitu pada jam 6.16 dan 6.20 petang.

Penyiar radio yang menggunakan akaun Facebook peribadinya menjelaskan perkara itu disebabkan oleh kesilapan teknikal dan kesalahan dirinya sendiri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|