SEDIA diarah teruskan pembangunan bandar sempadan di Serudong dan Bantul

SEDIA diarah teruskan pembangunan bandar sempadan di Serudong dan Bantul

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) akan meneruskan rancangan untuk membangunkan bandar sempadan di Serudong, Kalabakan dan Bantul, Pagalungan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata perkara itu terus diberi keutamaan meskipun kerajaan persekutuan membuat keputusan menangguhkan pembangunan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di dua lokasi terbabit disebabkan kekangan kewangan.

Hajiji berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif SEDIA, Datuk Hashim Paijan sebelum mesyuarat SEDIA di Menara Kinabalu.

Beliau menjelaskan rancangan pembangunan bandar sempadan di dua lokasi yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia itu tidak harus ditangguhkan, sebaliknya mengarahkan SEDIA untuk meneruskan usaha yang sudah dirancang.

“Pihak SEDIA selaku pihak berkuasa negeri bagi pembangunan bandar sempadan perlu meneruskan rancangan pembangunan bandar sempadan di kedua-dua lokasi ini,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat SEDIA di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Pada mesyuarat itu, Hajiji yang juga Pengerusi SEDIA dimaklumkan bahawa jumlah kos pembangunan CIQS Kalabakan ialah RM815 juta, masing-masing RM600 juta untuk pembinaan jalan sepanjang 39 kilometer dan RM215 juta lagi untuk membina CIQS.

Bagi Pembangunan CIQS di Pagalungan pula, kos keseluruhan termasuk pembinaan jalan raya menelan belanja sebanyak RM509.4 juta.

Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Pejabat Perdana Menteri memberitahu mesyuarat itu bahawa pihak EPU tidak mempunyai bantahan terhadap projek yang diumumkan dalam Bajet Persekutuan 2020 tetapi menasihati pihak SEDIA untuk meneruskan perkara itu dengan kementerian berkaitan.

Terdahulu, Hajiji berkata SEDIA akan melaksanakan 30 inisiatif di bawah Pelan Tindakan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) 2030 sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi seimbang di seluruh koridor di negeri ini.

“Inisiatif di bawah pelan itu yang juga untuk menangani kesan pandemik, merangkumi lima teras strategik iaitu ekosistem perniagaan, ekonomi, modal insan, pembangunan sosial dan kemampanan alam sekitar.

“Pelan Tindakan SDC 2030 diselaraskan dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Kempen Keluarga Malaysia dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) serta Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.

Sementara itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata peralihan Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke Fasa Peralihan Endemik mulai bulan ini akan memberi kesan signifikan kepada pelbagai sektor terutama industri pelancongan di Sabah melalui pembukaan semula sempadan negara.

Katanya, kerajaan negeri juga akan terus menyediakan langkah pemulihan negeri melalui beberapa pelan tindakan pembangunan sosio-ekonomi negeri.

“Kerajaan Negeri sudah menggariskan sebanyak 584 inisiatif meliputi 304 inisiatif teras dan 280 inisiatif pemboleh daya yang mana akan memfokuskan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi Sabah di bawah Halatuju SMJ,” katanya.

Hajiji berkata di bawah RMK-12, sejumlah RM187.5 juta diperuntukkan kepada SEDIA untuk tujuh projek dan sehingga Februari 2022, SEDIA sudah menerima sebanyak RM74.25 juta.

Katanya, antara projek mega dilaksanakan SEDIA di bawah RMK-12 ialah cadangan SDC untuk Pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar, yang juga projek pertama di Sabah melaksanakan Program Kolaborasi Industri (ICP).

Beliau berkata, ICP ialah program inisiatif kerajaan untuk aktiviti perolehan yang melibatkan bekalan, perkhidmatan dan kerja untuk memastikan pulangan daripada pelaburan yang dibuat kerajaan bagi projek mega dengan kos melebihi RM100 juta yang akan memberi manfaat dan impak kepada pembangunan industri tempatan.

“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa nilai kredit ICP bagi cadangan pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar setakat ini telah mencecah RM493 juta atau 54.8 peratus merangkumi sembilan projek,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif pembangunan modal insan – SDC-Skills and Talent Enhancement Programme (SSTEP) juga dilancarkan pada 2021 untuk mengimbangi pandemik Covid-19 melalui pemadanan pekerjaan dengan penyediaan latihan kemahiran dan kemahiran semula (reskilling) kepada pencari kerja.

Sehingga 11 Mac tahun ini, katanya sebanyak 87 program yang ditawarkan oleh majikan dan penyedia latihan yang berdaftar di bawah SSTEP berjaya menarik 633 peserta dengan sebanyak 60 program sudah disiapkan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|