Sembilan ditahan membabitkan pergaduhan sekumpulan lelaki di Kubota Square

Sembilan ditahan membabitkan pergaduhan sekumpulan lelaki di Kubota Square

Tawau: Sembilan lelaki berusia 20 hingga 42 tahun yang dipercayai terbabit dalam insiden pergaduhan dan samun di Kubota Square, di sini, semalam, ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku kira-kira jam 12 tengah malam itu daripada seorang lelaki berusia 23 tahun.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin

Katanya, siasatan mendapati insiden dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati selepas mangsa dikatakan memandang suspek ketika berada di dalam salah sebuah premis.

“Insiden itu membawa kepada pergaduhan di luar premis berkenaan dan mangsa kemudiannya menyedari rantai emas miliknya hilang disyaki ditarik oleh salah seorang suspek.

“Akibat daripada insiden berkenaan, dua individu mengalami kecederaan ringan dan terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Tawau,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Jasmin berkata, semua suspek sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perintah reman.

Katanya, enam daripada suspek terbabit direman selama empat hari dan dua lagi direman dua hari manakala seorang lagi suspek dibenarkan reman sehingga petang hari ini.

“Polis kini sedang memburu seorang lagi suspek yang masih bebas dan memohon orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu pihak polis.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 147 dan 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam rakaman video berdurasi satu minit 52 saat itu yang dirakam individu yang berada di lokasi dan memaparkan seorang mangsa dibelasah oleh sekumpulan lelaki di luar premis kawasan berkenaaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|