Lebih 300 penduduk terjejas tiada air disebabkan paip pecah di Sipitang

Lebih 300 penduduk terjejas tiada air disebabkan paip pecah di Sipitang

Sipitang: Lebih 300 penduduk di beberapa kampung di sini, mengalami masalah bekalan air sejak dua minggu lalu dipercayai berikutan saluran paip pecah disebabkan kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di daerah ini.

Akibat masalah yang dihadapi, sebahagian penduduk bertindak berhimpun di Jalan Pantai Sindumin, di sini, pagi tadi untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak kontraktor berhubung masalah itu.

Sani melawat lokasi paip yang pecah dipercayai akibat kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Jalan Pantai Sipitang.

Difahamkan, penduduk berkenaan berhimpun di kawasan itu sejak jam 7.30 pagi sebelum bersurai kira-kira dua jam kemudian selepas mendapat penjelasan daripada wakil kontraktor berkaitan.

Mereka juga menuntut supaya paip yang rosak dibaiki segera agar bekalan air dapat disalurkan semula ke rumah penduduk yang terjejas.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sindumun, Sani Miasin berkata, masalah air yang dihadapi itu menyukarkan penduduk ditambah pula dengan ketibaan bulan Ramadan yang mana bekalan air sangat diperlukan ketika ini.

Penduduk terpaksa berhimpun di Jalan Pantai Sipitang bagi mendapatkan penjelasan masalah air yang dihadapi sejak dua minggu lalu.

“Disebabkan tiada air, penduduk terpaksa bergantung kepada tadahan air hujan dan jika tidak hujan, susahlah.

“Malah ada daripada mereka mengambil inisiatif sendiri terpaksa membeli air minuman di Pekan Sipitang untuk kegunaan seharian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya lagi, antara kampung yang terjejas termasuklah Kampung Luagan Sindumin, Kampung Sindumin Baru, Kampung Lungkinangan, Kampung Pantai, Kampung Batu Tujuh, Kampung Pantai Lama dan beberapa kampung kecil di sekitarnya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sipitang memohon supaya pihak bertanggungjawab termasuk kontraktor dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) peka dengan masalah penduduk yang terjejas.

“Setakat ini, penduduk dimaklumkan kerja pembaikan dan penyambungan air mula dilakukan namun tidak diketahui bila ia akan beroperasi seperti biasa.

“Jadi kita minta kerjasama daripada pihak JANS supaya dapat membantu penduduk yang terjejas untuk menghantar bekalan air di kampung-kampung yang terjejas.

“Selain itu, saya mencadangkan juga supaya ada tangki sementara diletakkan di tempat yang strategik bagi memudahkan penduduk mendapatkan bekalan air,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|