Kota Kinabalu: Seorang wanita warga emas berusia 73 tahun ditemui meninggal dunia di kawasan pantai Tanjung Aru, di sini, hari ini.
Mangsa yang juga warga tempatan terbabit ditemui oleh orang awam kira-kira jam 6.30 pagi sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan segera.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, sebaik menerima maklumat, sepasukan polis terus dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
Katanya, setibanya di lokasi, mangsa ditemui terdampar di Pantai Tanjung Aru 3, berhampiran Stesen Meteorologi Kota Kinabalu.
“Siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu kereta Proton Gen 2 dipercayai pergi ke kawasan pantai berkenaan untuk beriadah.
“Polis turut menemui kunci, dompet dan telefon bimbit yang ditinggal di dalam
kenderaan berkenaan,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, mangsa dipercayai berjalan-jalan di pantai berkenaan sebelum rebah dan meninggal dunia.
Katanya, pemerhatian luaran tidak menemui sebarang kecederaan di tubuh badan mangsa dan tiada sebarang kesan pergelutan.
“Setakat ini, polis belum mengesan sebarang kecederaan atau tanda-tanda yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Zaidi meminta orang ramai atau saksi kejadian supaya tampil bagi membantu siasatan.
-Deasoka