Kota Kinabalu: Kumpulan Sawit Kinabalu baru-baru ini berjaya melakar sejarah apabila menerima anugerah berprestij yang dikategorikan sebagai ‘Corporate Excellence in Agriculture Palm Oil’ oleh The World Brands Foundation (TWBF) bagi tahun 2021 dan 2022.
Anugerah diterima bersama trofi istimewa yang direka khas dan disaluti emas 24 karat serta sijil itu disampaikan oleh Presiden European Wellness Biomedical Group, Germany Profesor Datuk Seri Dr Mike Chan kepada Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Bacho Jansie yang diadakan di Kuala Lumpur pada Selasa lalu.
Bacho menyifatkan anugerah itu adalah untuk semua kakitangan Sawit Kinabalu atas kerjasama dalam membangunkan syarikat berkenaan.
“Anugerah ini adalah untuk semua kakitangan Sawit Kinabalu di atas kerjasama dalam membangunkan syarikat dengan lebih maju walaupun dalam keadaan pandemik lalu yang telah menyekat pelbagai aspek dalam industri sawit.
“Kita akan terus berdiri dengan teguh untuk membuat kesinambungan yang positif dengan harapan untuk mengharumkan lagi nama syarikat dan industri sawit bukan sahaja di Sabah malah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bacho berharap, menerusi anugerah itu akan dapat melakar lebih banyak sejarah kejayaan di masa hadapan dan merangkul lebih banyak lagi anugerah dari segi pelbagai perspektif perniagaan dalam industri sawit.
Sawit Kinabalu adalah sebuah jentera pelaburan kerajaan negeri berlatar belakangkan perniagaan berasaskan kelapa sawit dan telah mula mempelbagaikan kegiatan perniagaannya.
Antaranya ialah perniagaan daging lembu segar premium tempatan dan halal di bawah jenama ‘Kinabalu Beef’ bersesuaian dengan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
Sementara itu, The BrandLaureate BestBrands Awards mengiktiraf jenama-jenama terbaik di seluruh dunia yang meliputi pelbagai industri mewakili syarikat-syarikat multinasional, badan berkaitan kerajaan, perusahaan kecil dan sederhana serta lain-lain lagi.
Pemenang anugerah adalah dipilih melalui budaya dan komunikasi, strategi, inovasi serta prestasi jenama.
Selain Sawit Kinabalu menerima anugerah itu, syarikat seperti ACER, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Great Eastern, Malaysia Rubber Council (MRC) dan Institut Jantung Negara (IJN) turut dianugerahkan bagi mewakili pelbagai kategori.
-Deasoka