Wanita warga emas melecur padam kebakaran stor

Wanita warga emas melecur padam kebakaran stor

Tamparuli: Seorang wanita warga emas melecur pada tangan dan kakinya ketika memadam kebakaran di stor penyimpanan minyak miliknya di Kampung Kionsom, Jalan Topokon Wangkod, di sini, petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 3.34 petang.

Stor penyimpanan minyak yang terbakar 10 peratus selepas berjaya dipadamkan oleh mangsa.

Katanya, seramai 11 anggota termasuk pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran dihantar ke lokasi.

“Kebakaran membabitkan sebuah stor penyimpanan minyak petrol terbakar 10 peratus.

“Kebakaran berjaya dipadam oleh pemilik stor sebelum ketibaan jentera,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa wanita berusia 72 tahun itu melecur di bahagian tangan dan kaki diberi rawatan awal oleh anggota EMRS sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Operasi tamat pada 4.20 petang dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|