Wanita warga emas maut, empat cedera dalam nahas tiga kenderaan

Wanita warga emas maut, empat cedera dalam nahas tiga kenderaan

Kota Belud: Seorang wanita warga emas maut manakala empat lagi cedera dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Jalan Bypass Kota Belud, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, wanita berusia 62 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, polis menerima laporan kemalangan membabitkan kenderaan jenis Proton Satria, Proton Saga dan Nissan Grand Livina.

Katanya, hasil siasatan mendapati Proton Satria yang dipandu lelaki berusia 27 tahun dari arah Taun Gusi menuju ke Pekan Kota Belud.

“Sebaik tiba di lokasi, kereta Proton Satria merempuh belakang sebuah Proton Saga yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun dan menyebabkan kenderaan terbabit hilang kawalan lalu masuk ke lorong bertentangan.

“Akibat kejadian itu, kenderaan terbabit berlanggar dengan sebuah kenderaan jenis Grand Livina yang dipandu lelaki 37 tahun yang datang dari arah Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, dalam kejadian itu tiga pemandu bersama seorang penumpang dalam kenderaan Grand Livina cedera.

“Seorang penumpang dalam kenderaan Proton Saga telah meninggal dunia dan semua mangsa dibawa ke Hospital Kota Belud untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Bagaimanapun Shahrudin berkata, kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika memandu dan mematuhi undang-undang di jalan raya selain memastikan kenderaan dalam keadaan baik.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|