Sawit Kinabalu jadi perintis industri sarang burung walit

Sawit Kinabalu jadi perintis industri sarang burung walit

Kota Kinabalu: Sawit Kinabalu Farm Product Sdn Bhd (SKFPSB) mula melebarkan sayapnya dengan menjadi sebuah organisasi perintis industri sarang burung walit sejajar dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Perjanjian usaha sama berkaitan industri itu telah dimeterai antara SKFPSB dan East Borneo Berhad (EBB) di Ibu Pejabat Kumpulan Sawit Kinabalu, di sini, kelmarin.

Melalui perjanjian ini, sebuah syarikat usaha sama akan diwujudkan untuk menjalankan sebuah perniagaan yang membekal, memproses dan meniaga sarang burung walit termasuklah rumah burung dan sarang burung di gua.

Selain itu, sebuah kilang pemprosesan sarang burung walit akan dibangunkan di Sabah Agro Industrial Precinct (SAIP) bagi menyokong industri berkenaan dan membantu untuk menyokong sosio-ekonomi penternak burung walit dalam negeri.

Hadir pada majlis menandatangani perjanjian usaha sama itu ialah Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Bacho Jansie dan kakitangan bahagian pengurusan tertinggi di ibu pejabat dan kakitangan SKFPSB manakala pihak EBB diwakili oleh Pengarah syarikat, Safuan Abdul Ghapur.

SKFPSB adalah sebuah anak syarikat milik penuh Sawit Kinabalu Sdn Bhd yang menjalankan perniagaan mengeluarkan dan menjual produk daging lembu segar dan lembu ternakan hidup selain memiliki serta mengendalikan rumah burung walit di Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|