Penghantaran lokar sekolah akan dibuat tidak lama lagi

Penghantaran lokar sekolah akan dibuat tidak lama lagi

Beluran: Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menegaskan penghantaran lokar murid akan dibuat tidak lama lagi.

Katanya, proses penghantaran sudah di peringkat akhir ketika ini dan ia akan sampai dalam masa terdekat.

“Kita di peringkat akhir penghantaran ni kita sedang usahakan supaya ianya dapat dihantar ke sekolah yang memerlukan dalam seberapa segera.

“Peruntukan lebih RM30 juta untuk membolehkan kita sediakan lokar ini bukan semua sekolah. Langkah ini untuk sekolah yang mana ada dua sesi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah Beluran, di Beluran, hari ini.

Mohd Radzi berkata, itu antara langkah yang sebelum ini diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menangani isu beg murid sekolah berat.

Katanya, beberapa langkah lain pula sudah pun dipraktikkan termasuk mengurangkan subjek harian daripada tujuh kepada empat subjek.

“Dengan itu, buku yang harus dibawa ke sekolah juga mampu dikurangkan,” katanya.

Terdahulu, isu beg murid berat masih menghantui murid sekolah sehingga hari ini disebabkan murid perlu membawa pelbagai jenis buku ke sekolah.

KPM kemudiannya mengumumkan tujuh langkah mengelakkan keadaan berkenaan dan antaranya dengan penyediaan lokar di sekolah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|