Ranau: Seorang pendaki Gunung Kinabalu terpaksa dibantu Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengalami sesak nafas dan pening kepala di laluan pendakian Kilometer 6.4 Panalaban, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, wanita tempatan terbabit dilaporkan mengalami kesukaran bergerak dan perlu dibantu untuk turun.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.45 pagi.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan tujuh anggota dan pegawai termasuk MOSAR dan malim gunung dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi mangsa ditemui, pasukan MOSAR bertindak membawa mangsa turun sebelum ditempatkan di Sick Bay.
“Seorang doktor yang kebetulan berada di lokasi kemudiannya membantu memberikan rawatan bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.33 petang.
-Deasoka