Maritim Malaysia tahan bot pukat tunda lakukan pelbagai kesalahan di perairan Tuaran dan Kota Belud

Maritim Malaysia tahan bot pukat tunda lakukan pelbagai kesalahan di perairan Tuaran dan Kota Belud

Kota Kinabalu: Dua bot pukat tunda ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Tuaran dan Kota Belud, di sini, selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan, hari ini.

Dalam operasi bermula jam 3.30 pagi itu, kedua-dua bot tunda berkenaan ditahan untuk pemeriksaan selepas dikesan menerusi radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA).

Bot pukat tunda yang ditahan Maritim Malaysia.

Pengarah Maritim Malaysia Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, kedua-dua bot dikesan sedang melakukan aktiviti mencurigakan di Tanjung Tembungo, Tuaran dan Teluk Ambong, Kota Belud.

Katanya, maklumat terus disalurkan kepada aset laut yang sedang melaksanakan operasi rutin untuk lokasi bagi pengesanan dan pemeriksaan.

“Setiba di perairan Tanjung Tembungo, di sini, bot ronda Maritim Malaysia mendapati sebuah bot pukat tunda sedang melakukan aktiviti menunda di bawah tiga batu nautika.

“Pemeriksaan lanjut pula mendapati nama-nama kru yang bertugas tidak sama seperti tercatat di lesen bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Rosli berkata, bot dan kru kemudiannya ditahan untuk siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952/60.

Sementara itu, di lokasi berbeza, Mohd Rosli berkata, bot ronda Maritim Malaysia manahan sebuah lagi bot pukat tunda di perairan Teluk Ambong pada jam 4.50 pagi.

“Bot pukat tunda berkenaan didapati sedang melakukan aktiviti menunda di pesisir pantai dan melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985.

“Malah pemeriksaan turut mendapati empat kru bertugas juga tidak mempunyai permit kerja yang sah dan ditahan untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63,”katanya.

Mohd Rosli berkata, kedua-dua bot tunda itu kemudiannya dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Sabah, Sepanggar, di sini, untuk siasatan lanjut.

Sehubungan itu, Mohd Rosli berkata, Maritim Malaysia menyeru kepada komuniti maritim untuk terus menyalurkan maklumat untuk tindakan penguatkuasaan.

Katanya, sebarang malumat berhubung aktiviti jenayah yang berlaku di sekitar perairan Kota Kinabalu boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah di talian 088-387774.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|