SPRM tahan guru besar lantik syarikat milik keluarga

SPRM tahan guru besar lantik syarikat milik keluarga

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang guru besar sekolah kerana disyaki menyalahgunakan kedudukannya untuk melantik syarikat milik keluarganya membabitkan kontrak pembekalan bernilai lebih RM36,000.

Sumber berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu dipercayai melantik syarikat isteri dan adik kandungnya untuk membuat pembekalan di sekolah tempat beliau bertugas.

Guru besar terbabit ditahan di pejabat SPRM Kota Kinabalu kira-kira jam 10 pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009

“Lelaki terbabit akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah dalam masa yang terdekat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pada tahun 2019 hingga awal tahun ini seramai 13 orang pengetua dan guru besar telah ditahan serta dituduh atas kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 manakala dua lagi telah dijatuhkan hukuman.

Katanya, SPRM sejak 2019 telah mengadakan beberapa sesi penerangan berhubung kesalahan-kesalahan di sekolah kepada guru besar dan pengetua dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

“Antara program terkini yang telah dianjurkan oleh SPRM Sabah ialah Seminar Kepimpinan Pendidikan Majlis Guru Besar Daerah Sandakan dan Beluran pada di Kota Kinabalu pada 6 Februari lalu,” katanya.

Sementara itu, beliau juga mengingatkan semua guru besar dan pengetua sekolah serta seluruh warga pendidik agar tidak menyalahgunakan jawatan dan sentiasa memikul amanah yang telah diberikan dengan integriti yang tinggi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|