Kota Marudu: Seorang pemandu wanita terselamat apabila kenderaan dipandunya terbakar selepas bertembung dengan sebuah lagi kereta dalam kejadian di Jalan Langkon, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa yang memandu kenderaan van Nissan Vanette itu bagaimanapun dilaporkan mengalami kecederaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.51 pagi.
Katanya, seramai lima pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Kejadian melibatkan pertembungan kenderaan mangsa dan sebuah lagi kereta jenis Honda. Mangsa yang mengalami kecederaan terus mendapat rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian.
“Mangsa kemudiannya dibawa ke hospital untuk mendapat rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba turut mengambil tindakan memadam kebakaran van berkenaan yang musnah terbakar 100 peratus.
Katanya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dari jentera bomba dan api berjaya dikawal pada jam 6.07 pagi.
“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.10 pagi,” katanya.
-Deasoka