50 lokasi hotspot dipasang LiSA: Bomba

50 lokasi hotspot dipasang LiSA: Bomba

Penampang: Kira-Kira 50 lokasi hotspot berlakunya kejadian lemas dikenal pasti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk diletakkan Life Saving Appliances (LiSA) di seluruh negara.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, setiap negeri sudah kenal pasti sebagai hotspot berisiko tinggi iaitu kelemasan melebihi lima mangsa di tempat yang sama dalam tempoh tiga tahun.

M Noor Azman (tengah) menyaksikan Mohammad Hamdan (kiri) menerima cenderamata daripada Abdul Razak pada Program Khidmat Bakti Bomba dan Kempeb Keselamatan Kebakaran di Balai Raya Kampung Terian, Penampang.

“LiSA sudah mula dipasang di seluruh negara iaitu terbaharu di Terengganu dan ada kira-kira 50 lokasi di mana statistik berdasarkan kematian di lokasi hotspot,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Khidmat Bakti Bomba dan Kempen Keselamatan Kebakaran di Balai Raya Kampung Terian, di sini, semalam.

Hadir sama dalam program itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib dan Pengarah JBPM Sabah, Abdul Razak Muda.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kejadian kepala air yang dilihat kerap berlaku di seluruh negara termasuk di Sabah.

Katanya lagi, ada kejadian lemas yang sukar dikenal pasti lokasi sebenar namun dengan adanya LiSA ia automatik akan mengeluarkan bunyi siren dan dalam masa yang sama menghantar Navigator Global Positioning System (GPS) kepada balai bomba yang terdekat.

“GPS ini kita boleh kenal pasti lokasi melalui Google Map dan bomba akan respons ke tempat itu dengan tepat.

“Ini sebenarnya inovasi hasil daripada bomba Kuala Lumpur dan di dalam peti itu mempunyai beberapa peralatan seperti jaket keselamatan dan asas-asas bagi menyelamatkan orang,” katanya.

Mengulas program yang dihadirinya, beliau memaklumkan ia adalah sebagai salah satu khidmat komuniti yang cuba diperluaskan kepada orang ramai mengenai elemen menyelamat.

“Mereka di sini pun (komuniti Kampung Terian) ada juga sungai, jeram sebagai punca air dan sebagainya. Kita nak berikan pendekatan bagaimana cara mereka mencegah daripada berlakunya kelemasan dan menyelamatkan orang lain sekiranya berlaku.

“Segala elemen berkaitan keselamatan diri melalui kempen seperti ini banyak yang kita boleh berikan kepada masyarakat,” katanya.

-Deasok

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|