30 jurulatih akar umbi tamat kursus

30 jurulatih akar umbi tamat kursus

Ranau: Seramai 30 jurulatih berjaya menamatkan Kursus Kejurulatihan Bola Sepak Akar Umbi yang diadakan selama dua hari dan berakhir hari ini.

Kursus yang dianjurkan di daerah Ranau itu adalah hasil kolaborasi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Peserta bersama sijil masing-masing selepas menamatkan Kursus Kejurulatihan Bola Sepak Akar Umbi yang diadakan di Ranau.

Ia dikendalikan jurulatih bertauliah Hilary John Baptis Gabando dan turut dibantu jurulatih Petronella Douny.

Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom berkata, kursus itu bertujuan melahirkan lebih ramai jurulatih bertauliah terutamanya di peringkat akar umbi di negeri ini.

Katanya, ia selari dengan usaha SAFA dan FAM bagi melahirkan lebih ramai pemain akar umbi sebagai pelapis untuk negeri serta negara pada masa hadapan.

“Kursus ini ternyata mendapat sambutan menggalakkan dan setakat ini sudah melahirkan keseluruhan seramai 180 jurulatih akar umbi menerusi enam siri penganjurannya.

“Walaupun kursus ini diadakan di Ranau, namun ia terbukti mendapat sambutan dengan penyertaan peserta dari daerah lain seperti Kudat, Beaufort, Sandakan, Kunak, Tawau dan Labuan serta beberapa lagi daerah lain,” katanya.

David berkata, semua peserta yang menyertainya menunjukkan komitmen tinggi sekaligus membuktikan petanda positif kemajuan bola sepak di negeri ini.

“Sabah mempunyai ramai bakat di peringkat akar umbi, oleh itu, ia perlu selari dengan kelahiran jurulatih bertauliah secara berterusan.

“Kita berharap, usaha berterusan ini akan mampu membawa kegemilangan kepada sukan bola sepak di masa hadapan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|