Papar: Malaysia perlu mengukuhkan aspek keselamatan di perairan sempadan Sabah dan Sarawak melibatkan pertahanan ketenteraan strategik bagi memastikan negara ini mampu bertahan jika berlaku sebarang konflik di Laut China Selatan.
Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan berkata, siri pencerobohan di perairan Sabah dan Sarawak oleh pihak berkuasa dan ketenteraan China kebelakangan ini membuktikan kedaulatan Malaysia tidak dihormati.
Menurutnya, situasi sama turut dialami negara Asean lainnya yang menunjukkan China tidak teragak-agak mengerahkan tentera mereka bertindak terhadap negara lain sekiranya mereka merasakan hak wilayah mereka terancam.
“Keselamatan kita di Laut China Selatan melibatkan perairan Sabah dan Sarawak kerap dicerobohi sesuka hati oleh China walaupun pelbagai usaha telah diambil Malaysia sama ada melalui rundingan mahu pun diplomatik.
“Namun, saya lihat usaha ini tidak cukup kerana masih tidak diendahkan China.Kita harus lebih tegas dalam isu kerana ia melibatkan kedaulatan serta keselamatan rakyat khususnya di kedua-dua wilayah ini (Sabah dan Sarawak).
“Sudah tiba masanya Malaysia mengambil tindakan segera dengan mengukuhkan aspek ketenteraan di sempadan perairan kita sebelum Laut China Selatan menjadi medan perang dunia ketiga,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Ahmad yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan Sabah berkata, China tanpa segan silu mengukuhkan kehadiran di Laut China Selatan dengan mendirikan kemudahan ketenteraan di atas pulau-pulau yang masih dalam pertikaian.
Malah katanya, China juga baru-baru ini meningkatkan belanjawan ketenteraan mereka untuk kawasan itu yang sekaligus menimbulkan ketegangan di rantau Asean.
Menurutnya, Filipina baru-baru ini buat pertama kalinya telah diberikan amaran langsung oleh kerajaan China apabila mereka menjalankan aktiviti yang disifatkan sebagai provokasi ketenteraan walaupun di dalam kawasan perairan mereka sendiri.
“Lihat apa berlaku di Taiwan ketika ini apabila tentera China melakukan latihan secara besar-besaran di sekitar perairan Taiwan sebagai bantahan susulan lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Nancy Pelosi ke pulau itu, baru-baru ini.
“Jika berlaku konflik di Laut China Selatan, Sabah dan Sarawak akan menjadi barisan hadapan sekiranya Malaysia terus lemah dan tidak bertegas dalam menjaga kedaulatan serta keselamatan perairan kita,” tegasnya.
Ahmad yang juga Anggota Jawatankuasa Kira-Kira Parlimen Negara (PAC) sebahagian negara-negara lain sudah mula mengukuhkan aspek ketenteraan termasuk keselamatan di perairan sempadan masing-masing.
Beliau berkata, sewajarnya Malaysia juga melakukan tindakan sama dengan mempertingkatkan dan menaiktaraf aset ketenteraan khususnya aset Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM).
Bagaimanapun katanya, perkara sebaliknya berlaku apabila rakyat, baru-baru ini dikejutkan dengan skandal projek kapal tempur pesisir (LCS) sebanyak enam buah bernilai RM9 billion namun tiada kapal tempur diterima setakat ini.
“Ini menunjukkan negara kita lemah akibat pelbagai kontroversi dan paling menyedihkan skandal melibatkan aset ketenteraan kita (LCS) yang amat penting dan diperlukan bagi menjaga keselamatan perairan kita.
“Jika Malaysia terus kelihatan lemah dalam menjaga kedaulatan di sempadan perairan kita, kita bakal berhadapan banyak kerugian khususnya urus niaga serta kepentingan dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EZZ) antaranya sektor perikanan.
“Sabah dan Sarawak dilihat sebagai pihak paling rugi dalam masalah ini seterusnya berterusan menjadi wilayah yang ketinggalan khususnya Sabah dalam serba serbi pembangunan ekonomi,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad mempersoalkan tindakan Kementerian Pertahanan yang hanya fokus meningkatkan keberadaan ketiga-tiga aset tentera bagi mengukuh sempadan perairan Sarawak, tetapi tidak di Sabah.
Sambil menyambut baik usaha itu, beliau berkata sepatutnya tindakan sama harus dilaksanakan di Sabah yang turut berhadapan ancaman sama malah lebih meluas kerana berdekatan dengan negara jiran Filipina.
“Kenapa Sabah dianak tirikan? dan kenapa Menteri Pertahanan hanya berjanji kepada Premier Sarawak untuk tingkat keberadaan tentera tetapi tidak kepada Ketua Menteri Sabah? atau kerana Sabah tidak sepenting Sarawak?.
“Atau keselamatan rakyat di Sabah tidak penting hingga tidak perlu tingkatkan keberadaan tentera di negeri ini sedangkan semua maklum sempadan perairan Sabah bukan saja berhadapan ancaman China tetapi juga isu tuntutan Sulu.
“Kementerian Pertahanan dan kerajaan persekutuan harus bertindak adil tanpa terus bersikap berat sebelah terhadap kepentingan rakyat Sabah kerana kami juga sebahagian daripada Malaysia,” tegasnya.
Dalam pada itu, Ahmad turut meminta Malaysia supaya mengambil peluang kesediaan China yang baru-baru ini, mahu bekerjasama dengan negara-negara Asean bagi menyelesaikan pertikaian kawasan di Laut China Selatan.
Beliau berkata, Malaysia harus lantang bersuara tegas bagi memastikan rundingan itu tidak berat sebelah atau memihak China dan pada masa sama menunjukkan Malaysia adalah negara Asean yang kuat.
“China mesti melihat Malaysia sebagai sebuah negara Asean yang kuat serta tidak akan mengambil mudah terhadap tuntutan mereka di Laut China Selatan dan kekal tegas bahawa wilayah kita mesti kekal berdaulat .
“Sebarang tindakan mengganggu-gugat keselamatan perairan negara tidak akan diterima begitu sahaja. Jika China mahu kekal mesra dengan negara-negara Asean yang lain, mereka harus setuju dengan syarat-syarat yang kita ada.
“China mesti hormat kedaulatan kita sebagaimana kita hormati kedaulatan wilayah mereka. Sebarang senario yang boleh mengakibatkan perang di rantau ini tidak akan beri manfaat kepada kita atau mana-mana negara Asean lain,” tegasnya.
Ahmad berkata, Malaysia mesti berdiri teguh bersama negara Asean lainnya untuk mempertahankan kedaulatan negara agar tidak mengalami nasib sama dengan negara Ukraine yang diceroboh Rusia sebagai sekutu kuat China.
Tegasnya, tindakan Rusia yang mendapat sokongan langsung China memberi bayangan bahawa mereka cenderung mengambil tindakan sama sekiranya menghadapi senario serupa di rantau Asean ini.
“Justeru, aspek keselamatan perairan kita harus diperkukuhkan termasuk meningkatkan aset ketenteraan bagi memastikan Malaysia tidak kelihatan lemah pada persepsi negara lain,” katanya.
-Deasoka