Wanita parah dihempap runtuhan konkrit

Wanita parah dihempap runtuhan konkrit

Kota Kinabalu: Seorang wanita berusia 55 tahun cedera selepas dihempap runtuhan konkrit dalam kejadian di Jalan Sembulan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa dilaporkan patah tangan dan terpaksa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Lokasi kejadian runtuhan konkrit di Jalan Sembulan, Kota Kinabalu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada 10.02 pagi.

Katanya, seramai lapan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Mengikut laporan, runtuhan adalah membabitkan beranda di tingkat satu rumah kedai yang roboh dan menghempap mangsa.

“Mangsa cedera parah terus diserahkan kepada pihak ambulans dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.40 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|