Hajiji lancar Portal SYABAS

Hajiji lancar Portal SYABAS

Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, melancarkan Portal Skim Jaya Usahawan Belia (SYABAS) di Menara Kinabalu, hari ini.

SYABAS adalah inisiatif baharu kerajaan negeri yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2022 bagi memacu gerakan pembangunan ekonomi dan pengukuhan potensi belia Sabah.

Program itu adalah inisiatif yang dirintis Hajiji melalui aspirasi yang disuarakan generasi muda bagi membantu belia Sabah mengembangkan perniagaan sedia ada atau memulakan perniagaan baharu.

Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk Program SYABAS bagi menyediakan bantuan kewangan kepada usahawan belia Sabah.

Antara objektif Program SYABAS ialah membantu belia memulakan perniagaan setelah kehilangan pekerjaan akibat Pandemik Covid-19, membantu usahawan belia yang mempunyai produk untuk dikembangkan operasi perniagaan dan membantu usahawan belia membina rangkaian antarabangsa melalui aktiviti perniagaan eksport dan import bagi memapankan perniagaan mereka.

Sasaran program itu adalah belia Bumiputera Sabah yang berumur 18-40 tahun.

Dana disalurkan kepada belia yang ingin memulakan perniagaan dan mengembangkan perniagaan dalam bentuk bantuan kewangan kecil.

Dana berkenaan akan diselia Kementerian Belia dan Sukan Sabah dengan kerjasama Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR).

Belia yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai SYABAS termasuk cara memohon skim itu boleh melayari laman web https://syabas.gov.my.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong,; Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri, Andi Muhammad Suryady Bandy; Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan negeri, Mansur Asun dan Presiden Majlis Belia Sabah, Abqaree Fawwaz Abekan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|