3 lokasi berisiko banjir di Sandakan – APM

3 lokasi berisiko banjir di Sandakan – APM

Sandakan: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sudah bersiap sedia untuk menghadapi banjir, khususnya di lokasi yang dikenal pasti sering terjejas akibat bencana itu di daerah ini.

Timbalan Pengarah APM Sabah, Kolonel Nasrullah Mohd Nadzir, berkata setakat ini sebanyak tiga lokasi berisiko banjir diberi tumpuan iaitu kawasan Gum-Gum, Kampung Sungai Memanjang dan Segaliud.

Katanya, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir juga sudah ditetapkan iaitu di Dewan Masyarakat Gum-Gum, Sekolah Kebangsaan (SK) Jaya Bakti, Masjid Kampung Sungai Memanjang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Segaliud.

“Untuk Sandakan, ada tiga kawasan yang kita bersiap sedia yang selalu berlaku banjir iaitu kawasan Gum-Gum, Sungai Memanjang dan Segaliud.

“Tiga kawasan ini menjadi keutamaan APM dan juga Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah untuk kita memantau rapi sekiranya berlaku banjir,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pentauliahan PISPA Politeknik Sandakan, di sini, semalam.

Sementara itu, katanya seramai 50 anggota APM Sandakan digerakkan untuk nenyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta tugasan penyediaan PPS dalam tempoh lapan jam sejurus berlaku banjir.

Selepas 24 jam berikutnya, katanya seramai 40 anggota lagi akan dikerahkan bagi membantu operasi APM.

Beliau berkata, APM Sandakan ketika ini dilengkapi lima bot termasuk sebuah bot amfibia, sebuah ambulans, sebuah pacuan emlar roda dan dua trak pengangkut.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|