Kes gangguan seksual Ebit Lew: Pengadu anggap tertuduh ‘orang besar’ – saksi

Kes gangguan seksual Ebit Lew: Pengadu anggap tertuduh ‘orang besar’ – saksi

Tenom: Saksi pendakwaan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal Ebit Lew, memberitahu mahkamah yang pengadu kes itu pada mulanya enggan membuat laporan polis kerana menggangap dirinya ‘orang kecil’ manakala tertuduh sebagai ‘orang besar’.

Pakar motivasi, Mohd Fairuz Abu, yang menjadi saksi pertama pihak pendakwaan berkata, dia sebelum ini juga menerima puluhan mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada individu yang mengadu menjadi mangsa gangguan seksual termasuk yang dilakukan tertuduh.

“Salah seorang individu yang hubungi saya adalah (identiti pengadu tidak boleh didedahkan) pada jam 11.04 malam, 26 Julai 2021, ada juga mangsa lain yang mengadu menjadi mangsa gangguan seksual Ebit Lew tetapi mereka tidak meletakkan nama mereka kerana takut dan tidak berani tampil ke depan.

“Pada awalnya (identiti pengadu tidak boleh didedahkan) bertanya siapa individu yang saya maksudkan dalam ‘posting’ (di Facebook). Bila saya menyebut berkaitan Ebit Lew, maka pengadu terus berkongsi tangkap layar perbualan Ebit Lew dengan beliau…juga menghantar gambar kemaluan yang diberikan oleh Ebit Lew melalui WhatsApp,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Zahida Zakaria pada prosiding di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

Fairuz memberitahu mahkamah, dia kemudian menasihatkan pengadu supaya membuat laporan polis namun takut kerana menganggap dirinya hanya ‘orang kecil’ dan Ebit Lew sebagai ‘orang besar’.

“Saya katakan kepada (identiti pengadu tidak boleh didedahkan), jika ruang dan peluang ini tidak digunakan untuk membuat laporan polis, maka bayangkan berapa ramai lagi yang akan diganggu secara seksual oleh Ebit Lew,” katanya.

Jawapan saksi itu kemudian dibantah peguam Ram Singh yang mewakili Ebit Lew kerana berpendapat jawapan ‘bayangkan berapa ramai lagi yang akan diganggu oleh Ebit Lew’ bersifat tuduhan yang tidak mempunyai bukti.

“Jawapan itu tidak boleh direkodkan kecuali dia ada bukti laporan polis,” katanya.

Bagaimanapun, Zahida membalas bantahan Ram Singh dengan menyatakan apa yang dikatakan saksi adalah perbualan antara dia dengan pengadu.

Tambah Fairuz lagi, laporan polis akhirnya dibuat oleh tertuduh dan dia sendiri juga telah dipanggil untuk memberi keterangan.

“Saya juga dipanggil untuk jadi saksi bagi diambil kenyataan oleh polis dan telefon (jenis) OnePlus saya juga telah diberikan kepada polis,” katanya.

Ebit Lew, 37, menghadapi 11 pertuduhan, antaranya didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita tahun dengan menghantar gambar dan perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|