Kota Kinabalu: Impian untuk mendapat gaji lumayan selepas mendapat tawaran bekerja di luar negara bertukar menjadi mimpi ngeri bagi seorang lelaki apabila menjadi mangsa penipuan pekerjaan selama tiga bulan di Kemboja.
Apa tidaknya, mangsa bukan saja dipaksa bekerja untuk melakukan penipuan secara atas talian malah turut dibelasah menggunakan kayu, tali pinggang dan didera dengan ‘taser’ elektrik (senjata renjatan) apabila tidak memberikan kerjasama.
Menceritakan episod malang itu, mangsa yang dikenali sebagai Eric, 28, berkata, dia ditawarkan satu pekerjaan dengan pendapatan mencecah RM69,172 menerusi seorang kenalannya dari Sarawak ketika bekerja sebagai jurujual di Miri.
Katanya, tertarik dengan tawaran itu, dia bertekad untuk mencubanya kerana ingin mengumpul modal bagi memulakan perniagaan sendiri, satu hari nanti.
“Saya kemudiannya pergi ke Kuala Lumpur pada Jun lalu sebelum bertemu dengan seorang lelaki yang mendakwa sebagai pegawai perhubungan untuk perjalanan ke Thailand.
“Bagaimanapun, saya mengesyaki sesuatu selepas mendapat tahu destinasi penerbangan bukan ke Thailand sebaliknya dihantar ke Kemboja,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Eric yang juga bapa kepada dua anak berusia 4 dan 6 tahun berkata, dia diberitahu bahawa mereka akan pergi ke Thailand menggunakan pengangkutan darat sebaik tiba di Kemboja sebelum kemudiannya bersetuju untuk meneruskan perjalanan.
Bagaimanapun katanya, setibanya di Kemboja, dia menyedari menjadi mangsa penipuan apabila dibawa menaiki kereta ke tempat terpencil di kawasan yang dikenali sebagai Preah Sihanouk, Kemboja.
“Sepanjang berada di sana, saya bersama beberapa rakyat Malaysia dan selebihnya adalah beberapa lagi warga negara lain. Kami dipaksa melakukan penipuan atau ‘scam’ kebanyakannya di negara China.
“Selain sering dibelasah, saya juga dijual kepada dua syarikat lain yang turut sama melakukan penipuan.
“Akhirnya, dengan menggunakan telefon syarikat itu, saya secara rahsia berjaya menghubungi seorang rakan dan memintanya mendapatkan bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang Phoong Jin Zhe,” katanya.
Eric berkata, kesengsaraan yang dialaminya berakhir apabila bangunan 13 tingkat yang menjadi pejabat syarikat penipuan berkenaan diserbu pihak berkuasa negara itu.
Katanya, dia terus melarikan diri bersama mangsa lain sebelum menghubungi rakannya untuk membeli tiket penerbangan pulang ke ibu negara pada 24 September lalu.
“Itulah pengalaman paling buruk pernah saya alami, saya harap semua selepas ini tiada lagi orang akan tertipu dengan sindiket pekerjaan seperti ini. Berhati-hatilah ketika menerima tawaran yang lumayan,” katanya.
Sementara itu, Jin Zhe berkata, dia menerima maklumat mengenai mangsa pada 9 Ogos lalu dan terus menghubungi ahli keluarga mangsa untuk membuat laporan polis.
Katanya, pihaknya turut bertindak mendapatkan bantuan daripada Wisma Putra dan pejabat konsulat Malaysia di Kemboja untuk menyelamatkan mangsa.
“Kita amat bersyukur kerana dapat membantu mangsa. Kita berharap, pengalaman yang dialami Eric akan menjadi pengajaran kepada semua orang agar tidak mudah tertipu dengan tawaran yang lumayan,” katanya.
-Deasoka