Wanita melecur, rumah musnah terbakar

Wanita melecur, rumah musnah terbakar

Beaufort: Seorang wanita cedera selepas terkena bahang api dalam kejadian kebakaran di rumah guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Weston, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa berusia 59 tahun terbabit dilaporkan melecur di bahagian belakang badan dan dihantar ke Hospital Beaufort untuk mendapatkan rawatan.

Pasukan bomba memadam kebakaran sebuah rumah di rumah guru SMK Weston, Beaufort.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.28 malam.

Katanya, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis kekal berukuran 18.5 meter persegi yang musnah terbakar 100 peratus.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 60 meter dengan dua pancutan menggunakan sumber air kolam berhampiran tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, terdapat seorang mangsa wanita cedera melecur di bahagian belakang dan dihantar ke hospital oleh orang awam.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 11.25 malam dan pasukan bomba kemudiannya membuat pemeriksaan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain.

Katanya, operasi ditamatkan pada jam 12.33 tengah malam dan pihak forensik bomba akan menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kebakaran serta jumlah kerugian dalam insiden ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|