Kota Kinabalu: Dua bot nelayan musnah dalam kejadian kebakaran berhampiran Kompleks Perikanan SAFMA, di sini, awal pagi tadi.
Kejadian jam 5.50 pagi itu, sebuah kedai runcit yang terletak berhampiran kedua-dua bot berkenaan turut terbakar namun hanya musnah sekitar 30 peratus daripada struktur premis.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu jam 5.58 pagi.
Katanya, seramai 23 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan Lintas bersama jentera dikerah ke lokasi bagi memadam kebakaran.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran pancutan dengan sumber air dari tangki jentera dan pili bomba berhampiran.
“Kebakaran memusnahkan dua bot nelayan dan sebuah kedai runcit berhampiran terbakar 30 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jelasnya, terdapat seorang wanita dewasa terperangkap dalam kedai runcit berkenan namun berjaya diselamatkan pasukan bomba.
“Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu. Operasi terkawal jam 6.31 pagi dan operasi ditamatkan jam 10.19 pagi tadi
“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan, katanya.
-Deasoka