Lelaki hilang di laut ditemui lemas

Lelaki hilang di laut ditemui lemas

Kudat: Seorang lelaki yang hilang selepas dipercayai terjatuh di laut ketika menaiki sebuah bot di Jeti Ko-Nelayan, di sini, ditemui meninggal dunia, hari ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Jayson itu ditemui berhampiran Kampung Tampakan, di sini, kira-kira jam 8 pagi tadi.

Pasukan bomba mengangkat mayat mangsa  sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut. Pix Ihsan Bomba 

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.03 pagi.

Katanya, kelibat mangsa yang ditemui itu dilaporkan sama dengan identiti bagi laporan kes orang hilang di laut dua hari lalu.

“Identiti mayat terbabit turut disahkan oleh rakan-rakan mangsa dan sepasukan anggota serta pegawai terus dikerahkan bergegas ke lokasi penemuan.

“Pasukan Bomba kemudiannya membantu mengangkat mayat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudiannya membuat pemeriksaan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.50 pagi.

Dalam kejadian Sabtu lalu, kehilangan mangsa hanya disedari selepas salah seorang rakannya ke belakang bot untuk mencarinya namun gagal melihat kelibat mangsa.

Rakan-rakannya kemudian berusaha mencari mangsa namun gagal dan terus membuat laporan untuk mendapatkan bantuan.

Operasi pencarian diteruskan bermula dari jeti iaitu kawasan mangsa dilaporkan disedari hilang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|