Sidang DUN Sabah: Saya tumbuk meja jika tidak puas hati – Masidi Manjun

Sidang DUN Sabah: Saya tumbuk meja jika tidak puas hati – Masidi Manjun

Kota Kinabalu: “Saya akan tumbuk meja jika tidak puas hati dalam rundingan berkaitan tuntutan minyak dan gas Sabah,” tegas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Masidi Manjun.

Masidi berkata, sebagai ketua pasukan rundingan kerajaan negeri dalam perundingan berkaitan hak minyak dan gas dengan kerajaan Pusat dan PETRONAS, beliau tidak akan berlembut dalam soal menuntut hak Sabah.

Beliau memberi jaminan akan memastikan misi untuk mengembalikan hak Sabah terhadap minyak dan gas yang dikeluarkan dari negeri ini mencapai kejayaan yang dikehendaki rakyat Sabah.

“Pasal gas jangan risau. Walaupun saya ini orang kampung, orang Dusun atau orang bukit dari Ranau saya akan pasti mempertahankan hak Sabah.

“Saya sanggup keluar bilik rundingan dan tumbuk meja jika tidak puas hati,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Senallang) pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN)Sabah, di sini, hari ini.

Mohd Shafie bertanya mengenai usaha kerajaan negeri dalam memastikan hak minyak dan gas Sabah benar-benar dikembalikan kepada negeri ini seperti yang dituntut menerusi rundingan dengan PETRONAS.

Mengulas lanjut, Masidi berkata hasil ketegasan kerajaan negeri, PETRONAS bersetuju membangunkan fasiliti minyak dan gas terapung di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Katanya, projek itu akan dilaksanakan pada tahun ini seperti yang sudah dipersetujui.

“PETRONAS sudah bersetuju membina fasiliti ini di SOGIP, tiada toleh-toleh lagi dan insyaAllah akan dilaksanakan pada tahun ini,” katanya.

Dalam satu lagi soalan tambahan berkaitan kerahsiaan rundingan dengan PETRONAS oleh Datuk Yong Teck Lee (ADUN Dilantik), Masidi menjelaskan perkara itu adalah kelaziman dalam amalan perniagaan.

Bagaimanapun, katanya kerahsiaan itu hanya berlaku ketika perundingan masih dijalankan tetapi isi rundingan akan terdedah dengan sendirinya apabila perkara yang dirundingkan berjaya dan menjadi kenyataan.

“Contohnya kita diberi hak ambil alih ekuiti syarikat PETRONAS, apabila sampai kita ambil alih ia akan didedah kepada orang ramai, tapi memandangkan ada saingan dalam perniagaan, ia dirahsiakan ketika rundingan.

“Namun, satu demi satu akan didedahkan juga kepada awam apabila tiba masanya. Itu niatnya kerahsiaan itu, bukan tidak mahu beritahu atau ada sesuatu yang kita mahu sembunyikan, tiada niat seperti itu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|