505,439 murid, pelajar di Sabah mulakan sesi persekolahan hari ini

505,439 murid, pelajar di Sabah mulakan sesi persekolahan hari ini

Kota Kinabalu: Seramai 505,439 murid dan pelajar sekolah di seluruh Sabah memulakan sesi persekolahan Penggal 1, Kalendar Akademik Sesi 2022/2023, hari ini.

Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin berkata, semua murid dan pelajar ditempatkan di 1,071 sekolah rendah dan 221 sekolah menengah di seluruh negeri ini.

Suasana hari pertama sesi persekolahan 2022/2023 di SRK Stella Maris, Tanjung Aru.

Menurutnya, daripada keseluruhan jumlah itu, seramai 313,697 murid adalah dari sekolah rendah manakala 191,742 adalah pelajar sekolah menengah.

Bagi murid Tahun Satu, seramai 44,338 murid memulakan sesi persekolahan hari ini di seluruh Sabah melibatkan sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan.

Bagi pelajar Tingkatan Satu pula, seramai 36,560 pelajar yang baru memasuki sekolah menengah memulakan sesi persekolahan tahun ini.

Sementara itu, bagi institusi pendidikan swasta, seramai 8,000 murid dan pelajar dari 39 sekolah rendah, menengah dan antarabangsa turut memulakan sesi persekolahan hari ini.

Bagi sekolah tadika swasta, katanya seramai 14,950 murid di 399 tadika di seluruh Sabah hadir mendaftar bagi sesi persekolahan tahun ini.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan memaklumkan sesi persekolahan bagi semua sekolah di seluruh negara akan bermula hari ini.

Bagaimanapun, masih ada murid dan pelajar yang perlu hadir secara bersemuka, penggiliran dan mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|