PAS menang dalam memberi pendidikan kepada rakyat Sabah

PAS menang dalam memberi pendidikan kepada rakyat Sabah

Kota Kinabalu: PAS Sabah berpendirian walaupun tidak pernah memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya, mereka tetap ‘menang’ dalam memberikan pendidikan kepada masyarakat negeri ini.

Setiausahanya, Dr Aliakbar Gulasan berkata, sehingga kini PAS Sabah berjaya membina lebih 100 sekolah untuk masyarakat Islam di negeri ini.

“Kita di peringkat negeri secara prinsipnya cuma kalah dalam pilihan raya iaitu dari segi politiknya tetapi kita bukan hanya bertapak di sini untuk memenangi pilihan raya sebaliknya kita berjaya di peringkat pendidikan.

“Tadika Islam kita ada lebih 100 sekolah, sekolah rendah kita ada lebih 10 sekolah manakala sekolah menengah mula dibangunkan dan kita bantu masyarakat dengan ilmu tanpa ada prejudis dengan mana-mana pihak serta tanpa ada unsur politik dalamnya,” katanya kepada media di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa parti yang bertapak di sesuatu tempat sukar mendapat sokongan termasuk PAS yang sudah lama di Sabah sehingga kini masih belum mendapat sebarang kerusi dalam mana-mana pilihan raya.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik itu lagi, perkara itu yang membezakan PAS dengan parti-parti lain yang ada.

“Saya kira ini perbezaan kita dengan parti lain, saya selalu katakan parti lain hanya mengira jumlah kerusi yang dimenangi untuk masuk ke Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi kita kalah menang itu suatu perkara yang kecil.

“Yang penting bagaimana kita mahu membangunkan sumber manusia dengan pendidikan,” katanya.

PAS pertama kali bertanding di Sabah menerusi Pilihan Raya Umum (PRU) pada 1986 dengan meletakkan tiga calon di Parlimen Kimanis, Jambongan dan Kota Belud namun semua tewas sehingga PRU-14 pada 2018.

Pada PRN Sabah yang lalu, PAS tidak menawarkan diri di mana-mana kerusi kerana memberi laluan kepada rakan kerjasama dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|